KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2015 : Satu demonstrasi yang difahamkan sebagai aksi mempertahankan diri dibuat kumpulan Anti-Bersih di depan Sogo hari ini, lapor TheRakyatPost.

Kumpulan tersebut dilihat memakai pakaian merah di dalam aksi tersebut manakala kumpulan Bersih 4.0 akan memakai baju bewarna kuning.

Kumpulan tersebut membabitkan gabungan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) Melayu. Kumpulan terbabit diketuai oleh Datuk Jamal Md Yunos yang berkata, demonstrasi itu sebagai persiapan pertahanan diri jika berlaku keganasan antara 'merah' dan 'kuning.

“Jika penganjur Bersih 4.0 mengotakan kata-kata mereka, untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 100,000 orang menyertai perhimpunan haram itu, maka, pihak berkuasa sudah tentu akan menghadapi masalah untuk memberi jaminan keselamatan kepada semua peserta kuning dan juga kami.

“Kami tidak akan memulakan sebarang keganasan tetapi sekiranya pasukan kuning berbuat demikian, maka, orang-orang kami yang berpakaian mereka berkemampuan mempertahankan diri masing-masing,” kata Jamal.

Menurut Jamal, seramai 30,000 penyokong anti-Bersih sudah siap sedia dan akan berkumpul di kawasan sekitar Low Yat pada Sabtu 9 Pagi sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.

“Semua 30,000 penyokong sudah menandatangani borang persetujuan bahawa sebarang keganasan fizikal menimpa mereka, kami tidak akan bertanggungjawab, tetapi kami menyediakan insurans kemalangan untuk mereka,” kata Jamal.

Namun, Jamal turut berkata sekiranya Bersih 4.0 dibatalkan, mereka juga akan mengundurkan diri dari perhimpunan.

“Kami berhimpun untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan yang dipilih oleh majority rakyat Malaysia, dan memastikan Malaysia kekal sebagai negara aman dan harmoni.

“Jadi, jika mereka membatalkan Bersih 4.0, kami akan membatalkan perhimpunan aman kami.”

Video persembahan yang dimuat naik oleh TheRakyatPost Network di Youtube itu memperlihatkan aksi beberapa kumpulan tersebut memukul sesama sendiri menggunakan kayu dan juga aksi memecahkan atap siling menggunakan kepala.

Bersih 4.0 dijangkan akan berlangsung pada hujung minggu ini.

sumber