"Saya nak keluarkan RM 50,000". Ceritaejoy sewaktu tengahari tadi. Aku ada sedikit urusan dekat kwsp malaysia cawangan alor gajah. Urusan pengeluaran kwsp akaun 2. Rasanya, bila cerita tentang akaun 2 ni, semua dah tahukan pengeluaran atas urusan apa? Ya, pengeluaran bagi pembayaran bulanan perumahan. Inilah cara aku untuk mengurangkan penggunaan gaji. Bila bayaran rumah dibayar melalui duit kwsp, adalah sedikit lebihan wang pada gaji bulanan. Dapatlah aku menyimpan lebih sedikit di dalam tabungan anak-anak.

Tetapi bukan itu yang aku nak cerita sebenarnya. Ceritaejoy ialah mengenai seorang pakcik ni. Lelaki cina dalam usia 60an macamtu. Bila sampai sahaja dekat pejabat kwsp, perkara pertama yang aku lakukan adalah periksa baki akaun 2 kwsp. Sewaktu dalam proses periksa tu, aku perasan pakcik ni berdiri tegak memandang kaunter. Mungkin beliau tak tahu bagaimana mahu berurusan.

Agak lama jugalah beliau berdiri. Datang seorang pegawai kwsp ni, terus jemput pakcik ni duduk berurusan dengannya. Belum sempat pegawai ni tanyakan apa urusan pakcik ni, ayat pertama yang aku dengar dan beberapa orang yang lain adalah "Saya nak keluarkan RM 50,000". Fuh! Lantang suaranya. Hahahaha.

Aku yang dekat sebelah kaunter pakcik ni berurusan, berpalinglah sekejap memandangnya. Hamboi pakcik, janganlah cakap kuat-kuat. Hahahaha. Mungkin disebabkan beliau telah menunggu terlalu lama untuk mengeluarkan wang tersebut yang menyebabkan beliau jadi sangat teruja. Mungkin. Tapi, fikiran aku, dalam usia semacam itu, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak RM50,000?

Jika ada zuriat, mungkin boleh diberikan sedikit kepada mereka. Jika merancang percutian, hmm, mungkin dah tak larat. Inilah hakikat kehidupan kan? Sewaktu belajar, kita sihat, tapi tiada duit. Sewaktu bekerja, kita ada duit tetapi tiada masa. Sewaktu tua, kita banyak duit, tetapi tiada kekuatan. Jadi hargailah setiap fasa kehidupan anda. Gunalah ia sebaik mungkin. Kan?

*pakcik, taknak belanja saya minum teh ke? Hahahahahha.