jalanraya kosong

Entry tanpa tajuk. Aku tak tahu, aku nak bercerita tentang apa. Boleh tak aku cakap, entry ni cuma luahan perasaan atau bebelan sahaja? Siapa yang cakap lelaki tak suka membebel? Ha, ada juga sebenarnya, tetapi tidaklah sehebat wanita. Kan?

Banyak perkara yang bermain di fikiran aku ketika ini. Di antaranya adalah bagaimana caranya nak tambah pendapatan keluarga. Aku bekerja sendirian. Isteri menjadi surirumah sepenuh masa menjaga 2 orang anak. Alhamdulilah, walaupun bekerja sendiri, kami masih mampu memiliki "aset" kami sendiri. Mungkin atas sebab inilah ramai yang tidak berapa suka dengan keselesaan dan kesenangan kami.

Nak bercerita pasal buruknya manusia ni, semua bangsa pun ada. Melayu, cina, india dan bangsa-bangsa lain. Tetapi disebabkan aku bangsa melayu, aku bercerita pasal bangsa kita la yer. Rakan-rakan sekeliling aku, jadi tidak senang. Manakan tidak, mereka bekerja suami isteri untuk kelangsungan hidup. Berbeza dengan aku yang bekerja sendirian.

Bekerja dari jam9 ke jam5. Setiap hari, sama seperti mereka. Tetapi punya hidup yang sama. Mungkin atas sebab ini, muncul sedikit perasaan tidak selesa di hati mereka. Apa yang aku ingin sampaikan adalah, jangan hanya melihat apa yang kalian mampu lihat. Cuba melihat dari sudut berbeza.

Memang benar, aku bekerja sama lamanya dengan mereka. Tetapi kerja aku bukan setakat di situ sahaja. Pulang kerja, aku meniaga pula. Meniaga makanan di asrama kolej. Diwaktu mereka bersantai bersama keluarga, aku berpenat bersama keluarga aku. Ini juga untuk kelangsungan hidup aku. Bukan mudah untuk hidup senang.

Adalah sangat tidak logik, bekerja dari jam9 bawa ke jam5 dan mengharapkan pendapatan luar biasa. Ia bukan berkaitan dengan apa yang kita usaha semasa jam bekerja, ia adalah bagaimana kita menggunakan masa santai kita. Adakah ianya memberi kebaikan ataupun dibiarkan begitu sahaja.

Hairan aku dengan sikap manusia semacam ini. Kenapa perlu ada sifat iri hati? Jika ada usaha, sudah pasti ada balasannya. Tak perlulah nak iri hati dengan orang lain. Jika mereka turut sama berusaha, sudah pasti mereka juga menerima habuannya. Betul tak? Hairan aku dengan sikap manusia semacam ini.