cerita Hospital Jitra


Layakkah Wad Melor Hospital Jitra Dapat 5 Bintang?. Aku nak luahkan sedikit rasa terkilan aku. Aku tahu, kematian itu sudah di tentukan oleh yang maha esa. Namun, entri ini adalah luahan rasa terkilan aku, yang merasakan, wad ini tidak layak memperolehi 5 bintang, atas apa yang aku lihat melalui mata kepala aku sendiri.

Arwah ibuku telah di tempatkan di wad ini pada tanggal 7 disember 2015. Arwah kemudiannya di tukar ke hospital alor setar pada tanggal 14 disember 2015. Dan pada tarikh inilah, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Alfatihah buat arwah ibuku, zainab bte saad.

Baiklah, apa yang buatkan aku terkilan sehingga aku merasakan wad melor hospital jitra ini tidak layak memperolehi 5 bintang? Ceritaejoy macam ni, layanan yang diterima oleh arwah ibuku langsung tidak setaraf dengan apa yang diperolehi wad ini. Aku kurang faham dengan status 5 bintang yang ada pada pintu masuk wad ini. Dari segi apa yang membolehkan ia memperolehi 5 bintang?


Ibuku langsung tidak bermaya untuk bangun. Dan dia dibiarkan tanpa ada apa-apa usaha daripada jururawat yang bertugas di sana! Isteri aku, dia membantu untuk bersihkan luka dan nanah yang ada di kaki. Dan jururawat yang ada di situ, hanya lalu ulang alik, tanpa langsung ada niat untuk membantu.

Aku pulang berjumpa ibuku pada tanggal 11 hingga 13 disember 2015. Hanya 2 hari. Dan 2 hari inilah yang memperlihatkan aku kepada pelbagai perkara di wad melor hospital jitra ini. Kata wife aku, luka dan nanah itu langsung tak berusik. Arwah ibu aku masuk wad ini 7 disember. Ini bermakna 5 hari di biarkan tanpa ada apa-apa langkah untuk membersihkannya.

Wife aku ada bertanyakan kepada jururawat di situ, kenapa tidak bersihkan luka yang ada pada tubuh ibuku. Alhamdulilah, mereka mendengarnya, tetapi apa yang berlaku seterusnya sungguh mendukacitakan! Mereka datang dengan hanya membawa kapas! Tujuannya adalah untuk membersihkan luka tersebut. Hanya kapas?? Kata wife aku, mereka sepatutnya bawa keperluan lengkap untuk membersihkan luka dan bukannya bawa kapas semata-mata.

Jururawat di wad melor hospital jitra ini seperti langsung tidak mengendahkan ibu aku. Ya! mereka sebaliknya, meminta adik beradik aku untuk tinggal dan menjaga segala keperluan ibuku. Aku tidak menyalahkan perkara ini. Memang benar kami perlu menjaga ibu kami, tetapi tolonglah bantu! Dan bukannya sekadar melihat sahaja!

Ibu aku boleh dikatakan agak berisi. Dan ketika ingin memandikan ibu aku, wife aku tidak mampu untuk mengangkatnya secara sendirian. Dan tahu apa yang terjadi?? Semua jururawat di sana hanya memandang sahaja tanpa ada usaha untuk membantu. Dan yang hebatnya, mereka ulang alik di katil yang menempatkan ibu aku tu! Akhirnya, setelah tidak mampu untuk mengangkatnya, wife aku cuma lapkan sahaja badan ibu aku. Bayangkan perkara yang sama terjadi kepada kedua orang tua kamu semua. Apa yang kamu rasakan?

Aku kemana? Kenapa tidak membantu? Ya, ada 1 lagi undang-undang pelik dengan wad melor hospital jitra ni. Kanak-kanak di larang masuk! Dan disebabkan oleh itu, aku terpaksa menjaga kedua orang anak aku di luar wad. Aku pelik lagi hairan dengan peraturan ini. Kenapa tak boleh bawa budak masuk. Ini wad biasa! Bukan Unit Rawatan Rapi, Unit Pembedahan, Unit Kecemasan, Kemalangan dan Trauma, Dewan Bersalin atau Unit Perubatan Saraf.

Puas aku merayu kepada jururawat, untuk bawa anak-anak aku berjumpa dengan ibuku. Kerana arwah terlalu ingin berjumpa dengan mereka. Dan jururawat di sana tetap dengan jawapan, tak boleh bawa budak masuk. Bayangkan kalau permintaan itu datangnya daripada seseorang yang punya nama dan berpengaruh, aku sangat pasti, segala macam peraturan yang ada boleh diubah.

Mulanya aku akur dengan peraturan pelik tersebut, tetapi pada hari terakhir aku di kedah, sebelum pulang ke melaka, aku nekad untuk bawa anak-anak aku masuk dalam wad melor hospital jitra ni. Aku tak kisah, nak jadi apa, jadila. Aku tahu aku kena bawa juga mereka berjumpa dengan nenek mereka. Alhamdulilah, ibu aku sempat berjumpa dengan cucunya, dan sempat juga bergurau dengan mereka. Dan itu adalah perjumpaan terakhir anak-anakku dengan nenek mereka. Perjumpaan terakhir. Perjumpaan terakhir.

Aku terlalu sedih, kenapa jururawat di sana memperlakukan ibuku seperti itu. Bukankah tanggungjawab mereka untuk menjadi pesakit. Terlalu sibukkah hospital jitra ini? Hinggakan mereka tidak cukup tangan untuk menjaga pesakit yang ada? Ikhlas aku katakan, hospital ini boleh dikatakan lengang berbanding dengan hospital besar.

14 disember 2015,  ibuku dipindahkan ke hospital alor setar. Sampai sahaja di sana, ibu terus diletakkan dalam zon merah! Zon merah! Bukan kuning atau hijau! Ini menunjukkan, ada sesuatu yang serius di situ. Seminggu di wad melor hospital jitra, ibuku hanya di tempatkan di wad biasa! Kenapa bila sampai hospital alor setar, arwah terus di tempatkan di zon merah??

Aku tahu, semua ini adalah ketentuan darinya. Dan ini juga adalah penyebab kepada kematian ibuku. Tetapi biarlah ianya dengan cara yang elok! Bukannya dengan cara sambil lewa! Entah pada siapa mahu aku adukan perkara ini. Supaya yang berikutnya, tidak memperolehi pengalaman yang sama seperti aku. Cukuplah. Cukuplah dengan yang lepas.

Al fatihah buat ibuku Zainab Bte Saad.

20 August 1961 - 14 Disember 2015.