Pemandu Kereta UBER Diserang Empat Lelaki



Seorang pemandu kereta uber diserang oleh empat lelaki di Ibu Negeri Kenya. Mereka turut membakar keretanya dalam insiden terbaru kemarahan yang memuncak terhadap pemandu perkhidmatan pengangkutan awam persendirian itu di negara Afrika.

Pemandu Uber di seluruh dunia berdepan ancaman dan protes daripada pengendali teksi biasa, yang mendakwa tambang lebih murah yang dikenakan Uber menjejaskan pendapatan mereka, lapor Reuters.

Seorang pegawai polis Nairobi Japheth Koome, memberitahu kumpulan lelaki  itu menyerang pemandu Uber berkenaan pada Ahad dan menuang petrol ke keretanya lantas dibakar.

“Saya percaya polis akan dapat menangkap mereka berdasarkan maklumat nombor pendaftaran kenderaan mereka. Kami mengambil serius kes seumpama ini,” ujarnya.

Tambah Koome, pemandu Uber itu berjaya melepaskan diri namun mengalami kecederaan teruk.
Berhubung insiden itu, pihak Uber berkata akan memberikan sokongan penuh kepada pemandunya itu dan akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Uber memulakan operasi di Kenya pada awal tahun 2015, dan berjaya menarik perhatian pelanggan yang selama ini tidak senang dengan tambang yang mahal dan kaedah tawar-menawar harga yang menyusahkan.

Awal bulan ini, para pemandu teksi biasa mengancam akan melumpuhkan system pengangkutan awam jika perkhidmatan Uber tidak diharamkan di Nairobi dalam tempoh tujuh hari.
Kerajaan menolak desakan mereka dan memberi amaran sebarang tindakan ganas akan ditahan di bawah undang-undang di Kenya.

sumber