Tolong Hentikan Kritikan Terhadap Anak TPM. Beliau Tidak Bersalah


Datuk Nurulhiadayah Ahmad Zahid Anak kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah dikecam oleh rakyat Malaysia kerana mempertahankan kenyataan ayahnya. Apa yang dilakukan oleh rakyat Malaysia itu tidak wajar kerana ia bukanlah satu kesalahan berat seperti mana yang dilakukan oleh seorang penjenayah.

Cuba rakyat Malaysia meletakkan diri ditempatnya, apabila darah daging sendiri dikritik teruk tanpa diberikan ruang untuk mempertahankan diri. Apa yang dilakukan oleh Nurulhidayah itu merupakan satu langkah wajar yang patut diberikan pujian lebih-lebih lagi beliau adalah anak kepada pemimpin nombor dua negara ini.

Sudah tentulah beliau mempunyai peranan sebagai seorang anak untuk membersihkan nama ayahnya daripada dicerca oleh rakyat Malaysia yang asyik meroyan tak kena tempat. Perkara yang sama sudah tentu akan dilakukan oleh sesiapa sahaja tidak kira mereka itu anak seorang menteri, pegawai tinggi kerajaan mahupun anak buruh kasar yang mungkin tidak berpelajaran tinggi.

Asalkan ia menyentuh darah daging mereka sendiri, ada tanggungjawab untuk mereka membela daripada terus mendapat malu. Contohnya kita lihat, ia pernah dilakukan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sebelum disingkirkan daripada jawatannya selepas sering mengkritik bosnya iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika bapanya Dr Mahathir menghentam Najib dengan pelbagai asakan bertali arus, anaknya Mukhriz secara berani turut melakukan perkara sama.

Isunya tidak lain dan tidak bukan adalah mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana derma RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke adalam akaun peribadi Perdana Menteri. Meskipun Mukhriz ketika itu tahu bahawa orang yang dikritik adalah ketuanya, namun, beliau tetap berani mengambil risiko kerana mahu mempertahankan bapanya.

Perkara sama juga dilakukan oleh anak Muhyiddin Yassin selepas beliau digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Begitu juga dengan anak Mukhriz yang menganggap ayahnya sebagai seorang Superman. Ia sama sahaja seperti yang dilakukan oleh Nurulhidayah ini. Dia telah dijadikan sasaran oleh pengguna alam maya hanya semata-mata menyatakan isu kemasukan warga asing ke negara ini sebagai perkara kecil yang tidak perlu diperbesar-besarkan.

Masyarakat kini hanya memandang disatu sudut yang negatif sahaja terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan kerana kita hanya mahu mendengar apa yang mahu kita dengar. Tidak ada perkara yang boleh dianggap betul lagi, sebaliknya, mereka cuba menjadikan perkara yang betul itu sebagai satu kesalahan berat walapun tiada apa pun sebenarnya.Bukankah cabaran Zahid itu boleh dijadikan sebagai satu motivasi kepada golongan belia di negara ini agar menjadi individu yang lebih cekal dan berani?

Kasihanilah Nurulhidayah dan hentikanlah kritikan terhadapnya. Tiada guna untuk mengecamnya hingga ke lubang cacing. Disebabkan kritikan hebat yang diterimanya itu, Nurulhidayah dikhabarkan telah menukar nama pada akaun Instagramnya hari ini. Sampai begitu sekali tamparan hebat yang diterima olehnya daripada pengguna media sosial yang menjadi hakim pada setiap perbuatan.

Tindakan rakyat Malaysia yang menyerang anak TPM dilihat sangat melampau dan ia patut dihentikan sepenuhnya.
Tidak ada kesalahan pun yang dilakukan oleh Nurulhidayah kerana beliau hanya sekadar mempertahankan kenyataan ayahnya.

SUMBER