http://ift.tt/1MGDfea

Mencuri untuk teruskan kehidupan|Ada beberapa video yang dikongsikan di laman Youtube, mengenai kisah mereka yang dipukul kerana tertangkap ketika mencuri. Ada dari kalangan dewasa dan ada juga dari kalangan kanak-kanak. Mungkin ada daripada pembaca yang pernah menonton video seorang kanak-kanak yang di rendam ke dalam air dengan tangan terikat kerana tertangkap mencuri buah kelapa.

Dalam kejadian tersebut, dari apa yang aku faham, kanak-kanak tersebut adalah orang miskin dan mencuri hanya untuk mengisi perut yang kelaparan * Ini apa yang aku baca, mungkin variasi ceritanya berbeza daripada cerita sebenar. Mengenai hal itu, aku tidak mampu beri kepastian*. Ianya berlaku di luar Negara.

Malaysia sendiri ada kes semacam ini. Tertangkap dan dijatuhi hukuman. Alasan yang diberi adalah kerana miskin dan mencuri hanya untuk mengisi perut mereka ataupun perut anak-anak yang kelaparan. Di dalam kejadian seperti ini, siapa yang patut di salahkan? Apakah pencuri yang mencuri bukan untuk kekayaan, tetapi untuk mengisi perut ataupun orang sekeliling?


Aku teringat 1 kisah yang pernah dikongsikan dalam laman sosial. Mengenai seorang tua yang mencuri hanya untuk mengisi perut cucunya yang lapar. Dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman. Dan kemudiannya hakim menjatuhkan hukuman ke atas setiap yang hadir, akibat daripada membiarkan salah seorang daripada komuniti mereka kelaparan.

Dari apa yang aku nampak, kebanyakkan daripada “mereka” ini menyatakan, terlalu sukar untuk memohon bantuan daripada pihak berwajib. Terlalu banyak proses yang perlu dilalui oleh mereka. Dan proses tersebut juga banyak menggunakan wang. Oleh yang demikian, jalan terbaik buat mereka adalah mencuri.

Pada aku, jika keadaan ini menjadi terlalu sukar, kenapa tidak orang sekeliling yang memberi bantuan? Rakyat malaysia terkenal dengan sifat yang pemurah! Ya! orang malaysia adalah di antara rakyat dari seluruh dunia, yang pemurah. Kenapa tidak memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan?

Tak minta banyak pun, dalam masyarakat sekeliling, kalau 1 keluarga beri RM10, jika semua keluarga memberi bantuan, masalah semacam ini aku rasa boleh dikurangkan. Apakah nilai itu terlalu besar? Kalau besar, kurangkan kepada RM5. Kalau kita kumpul dalam 1 masyarakat dekat satu-satu kawasan tu, aku pasti, sudah cukup untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dan mereka yang menerima bantuan, bolehlah gunakan wang tersebut untuk memajukan diri. Samada mula berniaga kecil-kecilan ataupun mula mencari kerja. Jika ada usaha untuk memajukan diri, aku pasti orang sekeliling juga sangat senang untuk membantu.

Aku faham dengan keadaan masyarakat kita. Dan aku juga boleh agak jawapan yang diberikan bila kita memberikan idea ini. Bila mana masyarakat sekeliling tidak mahu ambil pusing, kes-kes semacam ini sampai bila-bila pun tak akan selesai. Jangan hanya berharap “orang-orang kaya” untuk tolong. Kita pun boleh tolong kalau kita mahu.


Mari bersama-sama menghidupkan suasana harmoni dalam masyarakat malaysia.