PM Najib Puji Jaringan Cantik Faiz Subri


KUALA LUMPUR: Jaringan cantik oleh pemain bola sepak Pulau Pinang Mohd Faiz Subri semalam bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak dunia, malah turut mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memuji jaringan melalui sepakan percuma yang cukup mengelirukan ketika perlawanan bola sepak Liga Super 2016 menentang Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

"Hebat gol freekick (tendangan percuma) Faiz Subri, khabar mengenainya sampai ke Amerika.. Saya ada lihat klip freekick itu, memang cantik," katanya dalam catatan terbaharu akaun Twitternya hari ini.

Najib dalam kenyataan itu turut memuat naik rakaman tendangan luar biasa penyerang skuad Harimau Kumbang berkenaan.

Gol cantik hasil sepakan percuma itu telah mencuri tumpuan dunia termasuk beberapa portal antarabangsa.

Menurut portal berita British Independent (http://ift.tt/eo5TIt), kemungkinan gol itu akan memenangi Anugerah FIFA Puskas 2016 sebagai 'Goal of the Year'.

Malah jaringan Faiz dianggap mengatasi kehebatan "sepakan percuma Roberto Carlos" ketika perlawanan persahabatan antara Brazil dan Perancis dalam Le Tournoi 1997 di mana Carlos melakukan sepakan dikenali sebagai "banana kick" yang seolah-olah melawan hukum fizik.
Pada perlawanan semalam Pulau Pinang menundukkan Pahang 4-1.