Perniagaan VS Pengalaman. Mood aku sedikit terganggu pagi ini. Ianya gara-gara perbalahan pendapat mengenai peniagaan dan juga pengalaman. Aku berpendirian, apabila kita ingin memasuki sesuatu bidang itu, pengalaman adalah perkara paling utama. Tanpa pengalaman, segala macam usaha adalah sia-sia.

Di dalam usaha memulakan perniagaan, modal sahaja tidak mencukupi. Ada modal yang banyak, tetapi kurang pengalaman di dalam pengendalian perniagaan, yang akhirnya berkesudahan kembali kepada kehidupan biasa. Jika pengalaman itu besar, dari ceruk mana pun, kita boleh buat wang. Ini terbukti dengan kejayaan ramai suri rumah buat duit dari rumah. Dalam pada fokus mereka di dalam menjaga anak-anak, mereka mampu menjana pendapatan dari rumah. Ini terhasil dari pengalaman yang ada.

Kalau kita bercerita mengenai blog. Kalau dulunya blog hanya di gunakan sebagai medium "luahan perasaan" tetapi kini ramai yang dah berjaya buat duit dengan blog. Ya! Blog juga adalah satu perniagaan. Dan ianya juga berkaitan dengan pengalaman. Dari mana datangnya ilmu? Dari pengalaman.

Aku beri 1 contoh perniagaan. Kita memilih untuk membuka kedai makanan. Pelbagai menu yang kita sediakan. Tetapi kita tak pernah tahu bagaimana rupa atau lebih teruk lagi langsung tiada pengalaman menjual makanan. Apakah yang akan jadi kepada perniagaan kita? Ianya samada tidak bertahan lama atau kekal sebagai kedai kecil sahaja.

Berbeza jika kita mempunyai pengalaman. Kita faham dengan selok belok perniagaan. Kita jelas dengan apa yang kita ingin lakukan. InsyaAllah, apa yang kita bina akan berjaya. Hanya dengan pengalaman.

Hmm. Aku tidak suka dengan mereka yang bermuka-muka di dalam perniagaan. Mereka yang gemar menggunakan pengalaman orang lain di dalam perniagaan mereka. Mereka yang langsung tidak tahu dengan apa yang mereka jualkan. Mereka kata produk mereka bagus, tetapi mereka sendiri tidak menggunakannya. Mereka ajar kita cara pelaburan yang betul, tetapi mereka sendiri tidak melabur. Apakah anda akan percaya dengan perniagaan seperti ini?