BERSIH 4.0 Tidak Layan Tuntutan Kos Pembersihan RM65,000


Gabungan NGO menuntut reformasi pilihan raya BERSIH 2.0 tidak akan membayar sebarang tuntutan kos pembersihan berjumlah RM65,000 seperti yang disebut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan semalam.

Sebaliknya Pengerusinya Maria Chin Abdullah menegaskan pihaknya meminta semua bukti seperti yang didakwa, dikemukakan di mahkamah kelak.

"Kemukakan bukti, kita akan jawab di mahkamah," katanya ringkas kepada pemberita selepas selesai memberikan keterangan berkaitan penganjuran BERSIH 4 hujung minggu lalu.

"Itu tanggungjawab DBKL untuk membersihkan kawasan tersebut. Macam mana DBKL nak caj seseorang buang air kencing merata? Adakah mereka tahu siapa? soal Maria.

Semalam Abdul Rahman berkata kerajaan akan menghantar bil tuntutan yang dianggarkan kira-kira RM65,000 kepada pertubuhan itu untuk menampung kos membersihkan kawasan tempat perhimpunan BERSIH 4 diadakan.

Pengarah komunikasi strategik BN itu berkata kos tambahan itu bagi membersihkan kawasan digunakan dalam perhimpunan 34 jam itu di kawasan Kuala Lumpur sahaja oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Maria berkata antara perkara yang disoal berkaitan mengenai kenyataan media, pelancaran BERSIH dan perhimpunan yang berlangsung 29 dan 30 Ogos.

Maria juga berkata polis turut mengambil keterangan berhubung akaun derma bernilai RM1.5 juta yang menyentuh soal perolehan dan kegunaannya.

"Kami ditanya tentang himpunan Bersih 4 iaitu bagaimana kami mengendalikan dan menyuraikan himpunan serta sukarelawan yang hadir.

"Bagaimanapun, kami tidak menjawab soalan yang diberikan dengan menggunakan hak kami untuk tidak menjawabnya.

"Mereka tidak mendakwa kami. Mungkin akan dimaklumkan kemudian jika mereka (polis) ingin mendakwa kami," katanya lagi.

Sementara itu, tujuh anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 selesai memberikan keterangan di ibu pejabat polis di Bukit Aman sekitar jam 12.30 tengahari ini.

Selain Maria Chin, turut dipanggil adalah Sarajun Hoda Abdul Hassan, Masjaliza Hamzah, Farhana Halim, Fadiah Nadwa Fikri, Mandeep Singh dan Adam Adli Abdul Halim.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 120, 124C, 140 dan 141 Kanun Keseksaan sementara Mandeep disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.