Azwan Ali Bakal Disaman Kerana Kicap


Azwan Ali bakal berdepan dengan tindakan undang-undang apabila sebuah syarikat pengeluar kicap tersebut mendakwa selebriti itu mengeluarkan kenyataan dan video bersifat fitnah terhadap produk mereka.

Menurut The Rakyat Post, syarikat tersebut yang diwakili oleh peguam Adnan Seman telah memberikan notis tuntutan agar Azwan menyiarkan permohonan maaf bertulis di sebuah akhbar tempatan serta menarik semula kenyataan dan video yang dimuat naik di akaun Instagramnya, divaazwanavazz sebelum 26 Januari ini.

Pemiliknya, Dr Hilmi Murad Mohamed berkata, tindakan selebriti itu telah memberikan impak yang buruk kepada syarikatnya. Beliau berharap Azwan mengambil langkah untuk membersihkan kembali nama produk dan syarikatnya itu.

"Komen-komen yang diberikan agak pedas dan melampau. Kalau pun iklan saya itu teruk, tetapi ada cara untuk kita menegur. Tegur dengan cara yang beradab, kita orang Melayu dan kita beragama Islam," katanya.

Azwan sebelum ini telah memuat naik klip video iklan kicap Tirana dan satu video parodi yang memaparkan dirinya menuang kicap berlebihan ke atas satu hidangan sambil meniru loghat percakapan model yang terlibat dalam iklan tersebut.

Dua hari yang lalu, Azwan Ali dipercayai telah dihubungi oleh pihak syarikat berkenaan yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. Namun, dalam kapsyen video iklan tersebut, Azwan seolah-olah mencabar syarikat itu memfailkan saman terhadapnya jika berani.

Bagaimanapun Azwan Ali dalam respon terkininya melalui Instagram menyatakan dia tidak gentar dengan ugutan saman yang diberikan. Malah, beliau juga akan memberikan saman balas terhadap syarikat berkenaan