Saya Pemimpin, Dia Siapa - Nazri Aziz


Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Ahli Majlis Tertinggi Umno  berkata sekiranya bekas ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz ingin bersuara, beliau hendaklah mewakili sesuatu kumpulan.

Sedangkan bekas menteri kabinet itu kini tidak lagi memegang sebarang jawatan, kata Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan.

“Saya bukan marah Rafidah bercakap, saya kata dia bukan pemimpin lagi, jadi saya cakap dia punya pandangan bukan seperti pandangan saya, kerana saya pemimpin, dia bukan pemimpin.

“Kalau kita nak bercakap kena mewakili suatu kumpulan. Kita mesti dipilih oleh rakyat. (Tapi) kalau dia bercakap, dia mewakili siapa,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Nazri lagi, tidak ada siapa yang meminta pandangan dari Rafidah.

Nazri juga menyifatkan kenyataan Rafidah bahawa ketika dia memimpin, pemimpin muda sekarang masih ditadika, sebagai kebudak-budakan.

“Sampai masa (pemimpin) kena bagi orang muda. Yang tua pun kena hormat budak-budak," tambahnya.

Sebelum ini Nazri dilaporkan berkata Rafidah 'bukan lagi sesiapa' apabila mengingatkan rakan-rakannya tentang kisah 'maharaja tanpa baju' selepas mereka mengkritiknya kerana menegur kelemahan pentadbiran kerajaan Datuk Seri Najib Razak.